9 Golongan Yang Tidak Akan Ditegur Allah Pada Hari Akhirat Kelak
Tuesday, October 15, 2019
Edit
Hari kiamat adalah sebuah kepastian yang akan terjadi tanpa pernah diketahui waktunya. Meski pun begitu beberapa hal mahu pun peristiwa boleh dijadikan petanda hari kiamat sudah semakin hampir. Dahsyatnya peristiwa kiamat tentu tidak akan pernah terbayangkan dalam fikiran kita.
Pada hari kiamat, Allah SWT menumpahkan kemarahan-Nya kepada hamba yang derhaka dan banyak berbuat dosa. Allah pun tidak akan memandang mereka, melainkan memberikannya azab yang teramat pedih atas semua dosa mereka di dunia. Berikut adalah sembilan golongan manusia yang tidak akan disapa oleh Allah SWT pada hari kiamat nanti.
Hadis Pertama
Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, Allah tidak akan melihat mereka, tidak juga menyucikan mereka dan bagi mereka azab yang pedih.” Rasulullah SAW bersabda demikian sebanyak tiga kali. Abu Dzar berkata: “Alangkah ruginya. Siapa mereka wahai Rasulullah?” Lalu Rasulullah bersabda: “Musbil (orang yang memakai kain melebihi mata kakinya), orang yang selalu mengungkit pemberiannya dan orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah palsu.” (HR. Imam Muslim).
Tiga golongan yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah:
Orang yang menyombongkan diri atas segala sesuatu yang dimilikinya.
2. Orang yang sentiasa mengungkit apa yang telah diberikannya sehingga menghapus amal baiknya. Golongan ini cenderung memiliki sifat riak sehingga menyakiti hati orang yang telah diberi.
3. Orang yang berniaga tetapi berbohong demi melariskan dagangannya. Ketidakjujurannya boleh merugikan pembeli. Sehingga Allah pun akan menghilangkan keberkatan pada keuntungan yang diperoleh.
Hadis Kedua
Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat dan Allah tidak akan menyucikannya. Dan tidak akan dilihat Allah dan bagi mereka azab yang pedih iaitu orang tua yang berzina, raja yang suka berdusta dan orang miskin yang sombong.” (HR. Muslim).
Tiga golongan yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah:
1. Orang yang berzina tidak akan disapa oleh Allah SWT kerana zina merupakan perbuatan keji yang dimurkai oleh Allah.
2.Pemimpin yang adil dan amanah akan mendapatkan darjat yang tinggi di dunia mahu pun akhirat. Sebaliknya, pemimpin yang zalim akan mendapatkan murka Allah sehingga baginya azab yang pedih dan tidak akan disapa oleh Allah pada hari kiamat.
3.Orang miskin yang menyombongkan diri ketika mendapatkan kenikmatan dari Allah termasuk golongan manusia yang tidak akan disapa oleh Allah pada hari kiamat nanti.
Hadis Ketiga
Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, Allah tidak melihat mereka, tidak juga menyucikannya dan bagi mereka azab yang pedih. Seseorang yang mempunyai kelebihan air di padang pasir, namun dia mencegahnya daripada Ibnu Sabil yang memerlukannya. Dan orang yang berjual beli dengan orang lain pada waktu Asar lalu dia bersumpah dengan nama Allah bahawa dia mengambilnya segini dan segini, lalu orang itu mempercayainya padahal tidak demikian keadaannya. Dan orang yang membai’at pemimpinnya kerana dunia. Bila ia diberi sesuatu oleh pemimpin, ia akan melaksanakan bai’atnya, dan bila tidak diberi maka ia tidak mau melaksanakan bai’atnya.” (HR. Imam Bukhari dan Muslim).
Tiga golongan yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah:
1.Orang kedekut dan tidak mahu membantu orang lain yang memerlukan pertolongan.
2.Orang yang melakukan sumpah palsu dalam urusan perdagangan demi mendapatkan keuntungan yang lebih banyak.
3.Orang yang membai’at pemimpin kerana kepentingan duniawi dan mahu mendapatkan imbuhan yang diinginkan.
Wallahu a’lam Bish-shawab. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih baik lagi.